KUALA LUMPUR - Tindakan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang mencelah dan bertanya siapa yang akan menjadi calon Perdana Menteri daripada pembangkang ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 mencuri tumpuan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Hamzah yang pada mulanya enggan menjawab soalan tersebut berkata, semua Ahli Parlimen pembangkang sudah mengetahui mengenai calon Perdana Menteri mereka.
"Kalau nak tahu, kami di sini semua dah tahu siapa calon Perdana Menteri.
"Kalau Kota Melaka nak tahu, sila masuk PN," katanya.
Poay Tiong bagaimanapun mendakwa, pembangkang sebenarnya tidak mengetahui siapa yang akan memegang jawatan tersebut.
"Kalau ikut jawapan Larut, ertinya tak tahu siapa lagi," katanya.
Hamzah kemudian menyifatkan tindakan Poay Tiong itu hanya untuk mengganggu perbahasannya.
**media[3307288]**
"Kalau saya beritahu dia, dia bukan mengundi kita pun. Jadi, tidak payah sibuklah. Ini kerja kami, jangan kacaulah," katanya.
Isu siapa layak menjadi calon Perdana Menteri mewakili Perikatan Nasional (PN) menjadi perbualan hangat kebelakangan ini.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) lebih awal menamakan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ke-8 Bersatu, 7 September lalu.
Bagaimanapun, pada 12 September, Pemuda Pas mencadangkan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon utama Perdana Menteri bagi PN.
Cadangan tersebut selepas Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan hasrat untuk tidak menyandang jawatan itu, selain sebulat suara meluluskan usul supaya kepemimpinan Pas mengambil alih teraju PN dan memimpin negara.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN turut berpendapat, Pas berhak beri pandangan tentang calon Perdana Menteri yang dirasakan layak, bagaimanapun perkara itu hanya akan diputuskan dalam pertemuan antara Majlis Tertinggi PN.
Sementara itu, Hamzah menafikan wujudnya sebarang perselisihan antara beliau dengan Muhyiddin seperti didakwa banyak pihak.
"Siapa kata saya gaduh dengan Pagoh," katanya.
Beliau kemudiannya bersalaman dengan Muhyiddin yang duduk bersebelahan.
Sebelum itu, beliau memuji usaha Muhyiddin yang memulakan usaha penilaian semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sewaktu memegang jawatan Perdana Menteri dengan komitmen penuh diberikan kepada menteri tertentu dalam kerajaan ketika itu.
-END-